Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Betapa
mahalnya harga ketenangan jiwa. Banyak yang mengorbankan apa saja untuk
mendapatkannya. Namun, tak sedikit juga yang keliru. Lihat saja apabila
seseorang ingin mendapatkan ketenangan jiwa, sangup menghabiskan masa
berjam-jam untuk berhibur sambil mengambil minuman keras. Tak sedikit
yang menghabiskan wang ribuan ringgit untuk mendapatkan pil penenang.
Sementara, ketenangan yang diperolehi hanya sebentar saja. Akibatnya
bukan ketenangan jiwa yang diperolehi tetapi kerosakan dan kehancuran
yang diterima.
Kehidupan setiap hari dengan berbagai-bagai
masaalah menyebabkan seseorang mendapat stress, risau, bimbang, gangguan
emosi dan kemurungan. Kehidupan yang mencabar, keperluan dan tuntutan
kehidupan yang meningkat, kos sara hidup yang tinggi kesemuanya
menyumbang kepada keadaan jiwa yang tidak tenang dan memberikan tekanan
jiwa yang amat membimbangkan. Apabila keadaan ini tak dapat dikawal
dikhuatiri berbagai masaalah yang akan timbul, dan kadangkala boleh
mengakibatkan seseorang itu bertindak diluar batasan manusia yang sihat.
Contohnya faktor bunuh diri, penderaan seksual, penyiksaan fizikal
terhadap kanak-kanak dan pembantu rumah,membuang dan membunuh bayi yang
baru dilahirkan, hinggakan ianya boleh sampai keperingkat membunuh orang
lain.
Sahabat yang dimuliakan,
Hakikat sebenarnya, tak ada
seorang pun boleh terlepas dari masaalah kehidupan. Itulah sunatullah
yang berlaku di dunia. Kekayaan, pangkat dan kedudukan takkan mampu
menghalanginya.
Namun, Islam memberikan penyelesaian terhadap
tekanan hidup itu agar jiwa menjadi tenang. Tak ada istilah stress atau
kecewa bagi seorang Mukmin. Persoalannya Islam telah memberikan
penyelesaian untuk menghadapi tekanan hidup. Berikut adalah
langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mendapat ketenangan jiwa:
1. Membaca dan mendengarkan kitab suci al-Qur'an :
Suatu
ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, salah seorang sahabat utama
Rasulullah s.a.w.. Ia mengeluh, “Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dan
berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Hari-hariku penuh dengan
perasaan tak tenteram, jiwaku gelisah, dan fikiranku kusut. Makan tak
lalu, tidur pun tak lena," kata orang tersebut.
Ibnu Mas’ud menjawab, ”Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat :
Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya.
Kedua, engkau pergi ke majlis ilmu yang mengingatkan hatimu kepada Allah.
Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau berkhalwat mengabdikan diri kepada Allah.
Nasihat
sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang tersebut. Sampai saja di
rumah, segera ia berwudhu kemudian diambilnya al-Qur'an dan dibacanya
dengan khusyuk. Selesai membaca, ia segera dapati hatinya memperoleh
ketenteraman, dan jiwanya pun tenang. Fikirannya segar kembali, hidupnya
terasa seronok kembali. Padahal, ia baru melaksanakan satu dari tiga
nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah s.a.w tersebut.
2. Menyayangi orang miskin :
Rasulullah
s.a.w memerintahkan kepada Muslim yang punya kelebihan harta untuk
memberikan perhatian kepada orang miskin. Ternyata, sikap dermawan itu
boleh mendatangkan ketenangan jiwa. Mengapa? Dalam sebuah hadis
dijelaskan bahwa para Malaikat selalu mendoakan orang-orang dermawan:
Rasulullah
s.a.w bersabda yang maksudnya :“Setiap pagi hari dua Malaikat
senantiasa mendampingi setiap orang. Salah satunya mengucapkan do'a: '
Ya Allah! Berikanlah balasan kepada orang yang bersedekah. Dan Malaikat
yang kedua pun berdo'a :' Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang kedekut
itu kebinasaan."
Dari hadis tersebut dapat disimpulkan bahwa
orang yang dermawan itu memperoleh dua balasan. Pertama, ia mendapatkan
ganjaran atas apa yang diberikannya kepada orang lain. Kedua,
mendapatkan limpahan ketenangan jiwa dan belas kasihan dari Allah s.w.t.
3. Melihat orang yang di bawah, jangan lihat orang di atas :
Ketenangan
jiwa akan diperoleh jika kita senantiasa bersyukur atas segala
pemberian Allah s.w.t, meskipun nampak sedikit. Rasa syukur itu akan
muncul bila kita senantiasa melihat orang-orang yang lebih rendah taraf
kehidupannya dari kita, baik dalam segi harta kekayaan, tahap kesihatan,
rupa paras, pekerjaan dan pendidikannya. Betapa ramai di dunia ini
orang yang kurang bernasib baik. Rasa syukur itu selain mendatangkan
ketenangan jiwa, juga akan mendapat ganjaran dari Allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
"Siapa
yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan
bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri
manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat
Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah
itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."
(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)
4. Menjaga perhubungan silaturahim :
Manusia
adalah makhluk ciptaan Allah yang memerlukan perhubungan sesama
manusia, untuk bantu membantu sesama mereka. Berbagai keperluan hidup
tak mungkin diperolehi tanpa bantuan orang lain. Oleh itu, di dalam
hadis Rasulullah s.a.w diperintahkan untuk tetap menjalin hubungan
silaturahim, sekalipun terhadap orang yang melakukan permusuhan.
Rasulullah
s.a.w. juga pernah bersabda bahwa silaturahmi dapat memanjangkan umur
dan memurahkan rezeki . Hubungan yang baik di dalam keluarga, maupun
dengan jiran tetangga akan mendatangkan ketenangan, kedamaian dan
kemesraan. Hubungan yang baik itu juga akan menyelesaikan berbagai
masaalah yang dihadapi oleh masyarakat.
Rasulullah s.a.w. bersabda
yang bermaksud, "Barangsiapa menjamin untukku satu perkara, aku jamin
untuknya empat perkara. Hendaklah dia bersilaturahim (menjalinkan
hubungan baik) nescaya keluarganya akan mencintainya, diperluas baginya
rezeki, ditambah umurnya dan Allah s.w.t. memasukkan ke dalam
Syurga."(Hadis Riwayat Ar-Rabii)
5. Banyak mengucapkan kalimah "la hawla wa la quwwata illa billah." dan berzikir kepada Allah.
Sumber
ketenangan jiwa yang hakiki adalah bersumberkan dari Allah s.w.t. Oleh
itu hendaklah kita selalu menghubungkan hati dengan Allah s.w.t. dalam
semua keadaan, baik dalam keadaan senang maupun susah. Banyakkanlah
berzikir dan membaca kalimah-kalimah Allah. Perhubungan yang kuat dengan
Allah s.w.t. akan membuat jiwa seseorang menjadi kuat, tak mudah
diganggu gugat oleh sesiapa pun, apabila hati sentiasa mengingati Allah
maka syaitan laknatullah tidak akan dapat mempengaruhi hati dan fikiran
kita.
6. Mengatakan kebenaran walaupun ianya pahit didengar :
Hidup
ini harus dijaga agar senantiasa berada di atas jalan kebenaran.
Kebenaran harus diperjuangan. Pelanggaran terhadap kebenaran akan
mendatangkan kegelisahan. Ketenangan jiwa akan terbina apabila kita
tidak melanggar nilai-nilai kebenaran. Sebaliknya, pelanggaran terhadap
kebenaran akan berpengaruh terhadap ketenangan jiwa. Lihat saja
orang-orang kerap berbuat maksiat, kehidupannya dipengaruhi kegelisahan.
7. Sentiasa berlapang dada terhadap kecaman orang lain asalkan yang kita lakukan benar-benar kerana Allah :
Salah
satu faktor yang membuat jiwa seseorang tidak tenang adalah kerena
selalu mengambil perhatian kecaman orang lain terhadap dirinya.
Sedangkan seseorang akan memiliki pendirian yang kuat jika berpegang
kepada prinsip-prinsip yang datang dari Allah s.w.t. iaitu Islam sebagai
cara hidup. Sekiranya kita ikuti apa yang berlaku di dunia sekarang
ini, ianya akan menganggu ketenagan jiwa kita.
8. Tidak meminta-minta kepada orang lain :
"Tangan
di atas (memberi) lebih mulia dari tangan di bawah" adalah hadis
Rasulullah s.a.w yang memotivasi setiap mukmin untuk hidup berdikari.
Tidak bergantung dan meminta-minta kepada orang lain, kerana jiwanya
akan kuat dan sikapnya lebih berani dalam menghadapi kehidupan.
Sebaliknya, orang yang selalu meminta-minta menggambarkan jiwa yang
lemah. Hal ini tentu membuat jiwanya tidak tenang.
9. Menjauhkan diri dari berhutang :
Dalam
sebuah hadis Rasulullah s.a.w dengan tegas mengatakan yang bermaksud :
“Janganlah engkau jadikan dirimu ketakutan setelah merasakan keamanan!”
(Para sahabat) bertanya:" Bagaimana boleh terjadi seperti itu!"
Sabdanya :" Kerana hutang.”
Begitulah
kenyataanya. Orang yang berhutang akan senantiasa bimbang dan risau,
kerena ia akan didatangi oleh orang yang memberi hutang kepadanya.
Inilah salah satu faktor yang membuat banyak orang mengalami tekanan
jiwa. Rasulullah s.a.w juga mengatakan dalam hadisnya yang bermaksud :
“Hendaklah kamu jauhi hutang, kerena hutang itu menjadi beban fikiran di
malam hari dan rasa rendah diri di siang hari."
10. Selalu berfikiran positif :
Mengapa
seseorang mudah stress dan jiwa tak tenang? Salah satu faktornya kerena
ia selalu berfikiran negatif. Selalu mencela dan menyesali kekurangan
diri. Padahal, setiap kita diberikan oleh Allah s.w.t. berbagai
kelebihan. Ubahlah fikiran negatif itu menjadi positif. Ubahlah perasaan
keluh kesah yang membuat muka berkerut, lemah badan dan kecewa dengan
ucapan yang mengembirakan. Ucapan yang mengembirakan akan membuat kita
mudah tersenyum, jiwa menjadi lebih bersemangat. Bukankah di balik
kesulitan dan kegagalan ada hikmah yang boleh jadi pelajaran? Dan
bukankah disebalik kesulitan ada kemudahan?