Iklan Panas

8 Sunnah Cara Rasulullah Menjaga Kesihatan Diri & Hidup Sihat

Pernahkah anda terdengar bahawa Rasulullah pernah ditimpa sakit yang teruk?
Sebenarnya Rasulullah banyak mencontohkan kepada kita bagaimana baginda menjalani hidup untuk kekal sihat.
Benarlah, menghidupkan sunnah nabi akan memberi banyak kelebihan dan memperbaiki kerosakan. Malah diberi pahala.
Berbalik kepada tajuk asal, bagaimana cara Rasulullah menjaga kesihatan?
Ini adalah cara Rasulullah menjaga kesihatan diri agar tetap sihat.

1# SELALU BANGUN SEBELUM SUBUH

Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardhu dan solat Subuh secara berjemaah.
Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.

2# CARA RASULULLAH MENJAGA KESIHATAN ADALAH DENGAN AKTIF MENJAGA KEBERSIHAN

Rasulullah sentiasa bersih dan rapi.
Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.
“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (HR. Muslim)

3# RASULULLAH TIDAK PERNAH MAKAN BERLEBIHAN

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)
Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan.
Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.

4# RASULULLAH MENJAGA KESIHATAN DIRI DENGAN GEMAR BERJALAN KAKI

Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat.
Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar.
Ini penting untuk mencegah penyakit jantung.
Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.

5# RASULULLAH TIDAK PEMARAH

Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali.
Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.
Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.
Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wudhu’ dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilang kan gundah di hati.

6# SENTIASA OPTIMIS DAN TIDAK PUTUS ASA

Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakkal kepada Allah s.w.t.

7# TIDAK PERNAH IRI HATI

Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”

8# JADILAH PEMAAF

Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa.
Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan.
Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.
Penutup
BAHAGIA sebenarnya bukan MENDAPAT tetapi dengan MEMBERI.
Sebenarnya, banyak lagi cara hidup sihat Rasulullah.
Semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.
mari ikut cara nabi.. :) 

Sumber : [akuislam.com]

Adab Pelajar Dengan Guru



Seorang pelajar mestilah memelihara adab-adab bersama guru.Antara adab-adab pelajar terhadap gurunya adalah seperti berikut:
1. Memberi salam dan sentiasa hormat kepada guru.
2. Duduk dengan sopan dan sentiasa dalam keadaan tenang.
3. Jika ingin bertanya minta izin terlebih dahulu.
4. Cari masa yang sesuai untuk bertanya.
5. Sentiasa menampakkan sikap menerima pendapat guru.
6. Hindari daripada menyinggung perasaan guru.

7. Memberi bantuan kepada guru apa yang dapat dibantu.
8. Lakukanlah apa yang paling disenangi oleh guru.
9. Bercakap dengan baik dengan guru, dengan menggunakan bahasa yang baik.
10. Tidak meninggikan suara semasa bercakap dengan guru.

Amal Pemakanan Sihat Ramadan



Kunci amalan makan secara sihat iaitu makan pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang perlu diamalkan walaupun pada bulan puasa. Kita mesti mengambil makanan dari semua kumpulan makanan berdasarkan kepada Piramid Makanan Malaysia iaitu nasi, roti, bijirin dan hasil bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran, ikan, ayam, daging dan kekacang, susu dan produk tenusu serta sedikit minyak, lemak, gula dan garam. Selain itu, kita juga perlu mengambil air yang mencukupi sama ada dalam bentuk minuman atau sup.
Berbuka puasa
Kebanyakan daripada kita suka mengambil kuih-muih manis sebagai juadah berbuka puasa. Apa yang paling penting ialah untuk tidak makan secara berlebihan dan adalah digalakkan mengambil makanan yang ringkas dahulu sebaik sahaja berbuka puasa.
Ini untuk mengelakkan ketidakselesaan pada sistem penghadaman. Mengikut sunah, adalah lebih baik mengambil kurma sebagai makanan pertama untuk berbuka puasa. Kurma kaya dengan tenaga serta serat. Contoh makanan berbuka puasa yang baik adalah seperti berikut:
• Berbuka dengan 3 biji buah kurma, 1/2 cawan jus buah-buahan, 1 cawan sup sayur atau 1/2 cawan bubur lambuk dan 1 keping kuih.
• Makan malam 1 cawan nasi, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur dan 1 biji buah.
• Makan lewat malam (moreh) snek ringkas seperti roti, biskut, sandwic, kuih-muih, kacang atau buah-buahan.
• Pengambilan makanan yang pedas serta berempah pula tidak digalakkan untuk berbuka. Ini dikhuatiri menimbulkan ketidakselesaan pada perut pada siang hari.
Sahur
Amalan bersahur adalah penting ketika berpuasa untuk membekalkan tenaga sepanjang waktu berpuasa siang hari. Sebaik-baiknya, waktu bersahur adalah sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu imsak. Bersahur awal atau sahur sebelum tidur adalah tidak digalakkan. Ketika bersahur, adalah digalakkan mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau oat.
Pengambilan makanan yang tinggi serat seperti roti tinggi serat atau roti mil penuh serta oat pula dapat mengurangkan rasa lapar. Jangan lupa mengambil buah-buahan dan air yang mencukupi sewaktu bersahur. Bagaimanapun, pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi tidak digalakkan kerana ia boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan.
Contoh makanan untuk sahur yang boleh diambil adalah seperti berikut: 1/2 cawan nasi, 1 ekor ikan goreng, 1/2 cawan sup sayur campur dan tauhu, 1 biji pisang atau 3 biji kurma, 1 gelas air kosong dan 1 gelas susu rendah lemak Atau 1 cawan bijirin sarapan dengan 1/2 gelas susu rendah lemak dan kismis/hirisan pisang, 2 keping roti mil penuh dengan sedikit jem, 1 gelas jus oren dan 1 gelas air kosong.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
Sumber : [hmetro.com.my]

ISRAK DAN MIKRAJ MELALUI SOLAT

BERDASARKAN fakta-fakta saintifik kebaikan ibadah solat bukan sahaja memberikan faedah rohaniah tetapi juga manfaat fizikal dan mental apabila dilakukan dengan tekun serta postur yang betul.
KITA sedia maklum, bulan ini umat Islam mengingati peristiwa Israk dan Mikraj - peristiwa Rasulullah SAW melakukan perjalanan yang jauh, dari Mekah ke Baitul Maqdis sete­rusnya Mikraj hingga ke langit ketujuh. Menurut jumhur ulama, kejadian berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum penghijrahan ke Madinah. Dalam peristiwa tersebut, Rasulullah dibawa berjalan dengan roh dan jasad. Kemuncaknya ibadah solat difardukan ke atas bagin­da secara langsung daripada Allah SWT di Sidratul Muntaha.

Solat boleh diumpamakan sebagai Israk dan Mikraj bagi seorang muslim. Semasa bersolat seseorang insan sewajarnya berada dalam keadaan patuh. Jasad dan hati fokus sepenuhnya mengadap Allah. Supaya sampai ke destinasi yang dituju, seseorang perlulah melepaskan diri daripada terpaut dengan perkara keduniaan. Penumpuan sepenuhnya kepada Allah secara mutlak dengan mengucapkan takbir dan tahmid, memuji kebesaran dan keagungan Ilahi, bermunajat serta berdoa memohon pertolong­an dan hidayah supaya dikurniakan kecemerlangan dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Mengerjakan solat wajib ke atas muslim yang baligh, berakal (‘aqil) dan suci daripada haid atau nifas serta tidak gila atau mabuk. Solat adalah ibadat yang mesti dikerjakan setiap orang dan tidak boleh diganti orang lain. Sesiapa yang mengingkari wajibnya solat lima waktu, hukumnya kafir dan murtad kerana telah jelas kefarduannya. Mereka yang mening­galkan solat kerana malas atau sibuk dengan urusan lain, tetapi masih beriman dan percaya dengan kefarduan solat, hu­kumnya fasik dan berdosa besar kecuali bagi yang baru memeluk agama Islam. Meninggalkan solat lima waktu boleh membawa hukuman yang berat di akhirat kelak. Allah berfirman maksudnya: “Kemudian mereka (yang taat) digantikan oleh keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), mereka akan menghadapi azab di dalam neraka kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta ber­amal soleh.” (Surah Maryam: 59-60)

Kajian saintifik menunjukkan betapa indah dan sempurnanya agama Islam sehingga setiap kewa­jipan yang diperintahkan mempunyai manfaat tersendiri. Penyelidikan oleh Profesor Madya Dr. Fatimah Ibrahim, Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok, pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya pada 2009 menunjukkan fakta-fakta saintifik kebaikan ibadah solat yang bukan sahaja memberikan manfaat rohaniah tetapi juga fizikal dan mental apabila dilakukan de­ngan tekun serta postur yang be­tul. Mereka membongkar fakta positif kebaikan solat dari sudut saintifik antaranya menurunkan kadar denyutan jantung, mengurangkan sakit pinggang, memperbaiki disfungsi ereksi (DE) serta mengaktifkan otot lantai pelvik.

Kajian itu mendapati mereka yang mengikuti lima tabiat lazim Rasulul­lah iaitu tetap bersolat, faham bacaan, solat berjemaah atau sendirian, rukuk 90 darjah, kedudukan kaki yang betul semasa sujud dan duduk tahiyat mempunyai kesihatan yang baik. Subjek kajian menjalani ujian kesihatan menyeluruh sebelum dan selepas menunaikan solat sunat dua rakaat.

Hasil kajian menunjukkan subjek yang menepati lima perkara tersebut bukan saja lebih sihat bahkan lebih tenang selepas menunaikan solat.

Solat berjemaah lebih afdal berbanding solat sendirian. Fadilatnya dirakamkan dalam sabda Baginda SAW maksudnya : “Solat berjemaah lebih afdal daripada solat berseorangan dengan kelebihan 27 darjat.” (Riwayat Bukhari).

Kelebihan solat berjemaah turut terbukti dari segi saintifik yang diakui oleh Prof. John Herbert, pakar sains fizik universiti di Amerika Syarikat selepas membuat kajian mengenai tujuan dan kelebihan solat berjemaah. Hasil kajian beliau mendapati sentuhan antara bahu jemaah ketika solat mampu menyeimbangkan cas elektrik positif dan negatif yang terdapat dalam tubuh manusia menjadikan tubuh lebih segar dan bertenaga. Penemuan itu membuka pintu hatinya, mendapat hidayah Allah dan memeluk agama Islam.

Solat yang sempurna mengikuti sifat solat Baginda SAW. Tatacara solat ini dapat diketahui melalui sunnah berdasarkan sabda baginda SAW maksudnya: “Solatlah sebagaimana kamu melihat aku solat.” (Riwayat Bukhari).

Malangnya hari ini, ramai yang bersolat dalam keadaan lalai, masih menjeling mesej di telefon bimbit dan tidak ketinggalan yang sering mempertikaikan solat orang lain. Bayangkan jika di hadapan raja dalam sesuatu majlis, pakaian rasmi mengikut protokol, telefon bimbit ditetapkan dalam mod senyap, duduk tertib menghormati protokol majlis, tetapi kenapa apabila meng­adap Allah semasa bersolat, kita tidak menjaga adab sepenuhnya?

Solat membezakan muslim dan bukan muslim. Muslim yang memelihara solat bererti dia memelihara agamanya. Tanpa solat runtuh agama seseorang. Jika diibaratkan dengan manusia, kedudukannya ialah kepala. Orang yang tidak mempunyai kepala tidak hidup, demikian tidak hidup agama bagi orang yang meninggalkan solat. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Pemisah seorang hamba dengan kekufuran dan keimanan adalah solat. Apabila dia meninggalkannya, maka dia melakukan kesyirikan.” (Riwayat Thabari).

Inilah wasatiyyahnya seorang muslim yang sihat menjalani cabaran seharian tanpa lupa tanggungjawab dan hubungan terhadap Penciptanya.

TAN SRI DR. ABDULLAH MD. ZIN ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri.

Sumber : [utusan.com.my]

Wuduk Baik Untuk Kesihatan


SOLAT tidak sah sekiranya tiada wuduk. Sesungguhnya wuduk banyak kelebihannya dari sudut agama dan kesihatan. 


SAUDARA PENGARANG, Mungkin kita tidak menyedari tentang kelebihan berwuduk dari sudut kesihatan. Antara kelebihan berwuduk, diri kita sentiasa bersih. Selain itu wuduk dapat menghindarkan kita daripada bahaya keracunan antaranya perbuatan memasukkan air ke dalam hidung.

Keracunan itu terjadi kerana adanya pertumbuhan bakteria berbahaya dalam lubang hidung. Dari lubang hidung ini, bakteria boleh masuk ke dalam usus sehingga menimbulkan radang dan berbagai-bagai penyakit terutama apabila bakteria itu telah masuk melalui peredaran darah.

Adapun berkumur-kumur dalam wuduk telah terbukti dapat menjaga mulut dan tekak daripada sisa-sisa makanan yang barangkali masih tersisa di dalam mulut. Membasuh wajah, dua tangan hingga ke siku dan dua tela­pak kaki memiliki manfaat dalam menghilangkan debu dan bakteria.

Di samping itu wuduk juga mampu membersihkan wajah daripada kandungan lemak yang keluar dari kelenjar kulit dan keringat. Inilah antara kelebihan berwuduk.

Tetapi apa yang lebih pen­ting Rasulullah SAW dalam satu hadis telah menerangkan mengenai kelebihan berwuduk yang antara lain anggota berwuduk itu akan mengeluarkan cahaya ketika akhirat kelak.

Rasulullah bersabda: “Se-sungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat nanti dalam keadaan, dahi, dua tangan dan kaki mereka bercahaya kerana wuduk.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

NURHAYATI NOOR RAHMAT
Jitra, Kedah.

Sumber ; [utusan.com.my

Amalan Zikir Terbaik Ramadhan



Apakah amalan zikir terbaik untuk diamalkan pada Ramadhan?

JAWAPAN

Zikir adalah amalan mengingati Allah, ia difahami sebagai amalan menyebut nama Allah, bertasbih (Subhanallah), tahmid (Alhamdulillah), takbir (Allahuakbar) dan tahlil (La ilaha illa Allah). Juga bacaan doa yang lain.

Selain itu, bacaan al-Quran juga adalah zikir. Bahkan Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran yang bermakna kedua-duanya mempunyai kaitan yang erat. Oleh itu, marilah kita memperbanyak bacaan al-Quran khususnya pada Ramadan.

Sumber : [utusan.com.my]

Kaedah Sahur Yang Betul



JIKA anda beranggapan dengan cara makan dan minum dalam kuantiti banyak ketika bersahur dapat membantu mereka menjalani ibadah puasa dengan baik, maka itu tidak benar sama sekali.

“Sebaik-baik sahurnya seorang mukmin adalah kurma”. Demikianlah sabda Nabi Muhammad SAW. Di sini jelas me­nunjukkan kepada kita bahawa cara bersahur yang betul tidak bergantung kepada kuantiti makanan yang dimakan, sebalik­nya apa yang kita makan ketika bersahur iaitu makanan berzat yang cukup membekalkan tenaga ketika berpuasa.

Jika makan pelbagai jenis makanan tetapi kandungan zatnya kurang dikhuatiri akan mengganggu kelancaran ibadah puasa. Lebih baik bersederhana makan tetapi seimbang kerana ini penting untuk kekal sihat menjalani ibadah puasa dengan baik.

Antara kaedah terbaik untuk tenaga kekal optimum, jangan sesekali meninggalkan sahur kerana itu amalan sunnah. Untuk makluman, sahur juga dapat mengawal gula dalam darah di samping memberikan tenaga kepada badan setiap hari serta memastikan sistem pencernaan berfungsi dengan lebih baik.

Selain buah kurma, pengambilan karbohidrat yang kompleks seperti oat dan nasi perang yang mengandungi serat adalah amat baik untuk bersahur. Ramai tidak menyedari pengambilan air berlebihan ketika bersahur juga tidak baik kerana semakin banyak air diminum, semakin cepat juga air dalam badan kita dibuang. Justeru cadangan kuantiti air yang perlu diminum adalah dua atau tiga gelas semasa bersahur.

Dengan cara bersahur yang betul, kita dapat memastikan kesihatan dipelihara di samping kekal bertenaga sepanjang hari di bulan Ramadan. Kesihatan juga amat penting dalam memastikan kesempurnaan setiap ibadah kita kepada Allah SWT lebih-lebih lagi di bulan yang penuh dengan barakah ini.

NURUL NAJIHAH MOHAMAD SHAHRIN
Negeri Sembilan

Sumber : [utusan.com.my]

Semarakkan Ramadan Dengan 
Al-Quran

BULAN Ramadan yang sedang kita lalui mempunyai banyak keistimewaan. Antaranya, ia adalah bulan di mana al-Quran diturunkan untuk memberi petunjuk yang membezakan yang benar dan yang salah kepada manusia.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (al-Baqarah: 185).

Penurunan al-Quran itu berlaku pada dua peringkat. Yang pertama, dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah (langit dunia). Kedua, dari langit dunia kepada Nabi SAW secara beransur-ansur dalam tempoh sejak baginda SAW diangkat menjadi rasul sehingga baginda wafat iaitu selama 23 tahun.

Justeru dapat kita lihat di banyak masjid dan surau dalam negara kita diwujudkan kumpulan tadarus yang biasanya membaca al-Quran selepas tamat solat tarawih atau selepas subuh. Alhamdulillah, usaha membudayakan al-Quran sebegini amat dialu-alukan.

Cuma yang perlu diberi perhatian adalah, aspek pengajaran atau mentadabbur isi kandungan kitab suci itu. Al-Quran bukan hanya untuk dibaca dan dilagukan. Lebih utama adalah memahami dan mempraktikkan isi kandungannya untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Oleh yang demikian, jangan pula wujud ‘perlumbaan’ sesama ahli tadarus. Seolah-olah mahu mencari kumpulan mana khatam dulu. Sehinggakan melanggar dan tidak mempedulikan hukum tajwid di dalamnya.

Sepatutnya, peluang ini mesti bermatlamat serampang dua mata. Selain menggalakkan pembacaan al-Quran ia juga menjadi platform untuk membetulkan dan memperbaiki sebutan atau makhraj huruf, panjang pendek bacaan dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, perlu ada inisiatif bagi menarik golongan remaja untuk sama-sama bertadarus al-Quran dan juga remaja ‘kaki masjid’. Barangkali sedikit imbuhan yang biasanya disampaikan dalam majlis pada malam nuzul al-Quran boleh menarik minat mereka. Wujudkanlah anugerah seperti remaja paling banyak membaca al-Quran; tokoh remaja masjid; remaja contoh dan sebagainya.

Lebih utama, kita harapkan al-Quran akan menjadi pemberi syafaat kepada kita sebagai pembacanya. Ia sebagai mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Bacalah oleh kamu al-Quran, sesungguhnya ia datang pada hari kiamat menjadi syafaat kepada pembacanya. (Riwayat Muslim)

Bagi yang merangkak-rangkak membaca al-Quran janganlah gundah gulana. Pastinya anda akan gembira selepas mengetahui sabda nabi SAW yang bermaksud: ...Orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap, dia akan mendapat dua pahala. (Riwayat Muslim)

Untuk itu, mari kita berazam sekurang-kurangnya sekali khatam al-Quran dalam Ramadan kali ini. Bagi merealisasikannya, kurangkan masa berinternet melayari laman-laman sosial yang tidak bermanfaat.

Peruntukan masa 10 minit setiap kali selepas solat fardu sekadar membaca dua muka surat. Dengan demikian insya-Allah kita dapat mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam Ramadan.

Inilah sasaran paling minimum yang perlu ada dalam kalangan umat Islam. Bandingkan pula dengan Imam Syafi’erahimahullah yang khatam al-Quran 60 kali pada setiap Ramadan dan 30 kali dalam bulan-bulan lain.

Sumber : [utusan.com.my]

Usah Abai 
Solat Subuh

SETAKAT hari ini kita tidak mempunyai satu data rasmi mengenai jumlah umat Islam yang tidak menunaikan solat Subuh namun saya percaya keadaan itu berlaku. Jika solat sekalipun berapa peratus antara kita yang menunaikannya dalam waktu dan di luar waktu.

Sungguhpun begitu saya percaya letih adalah antara alasan paling popular yang menyebabkan ada di antara umat Islam meninggalkan solat Subuh. Mereka terlalu sibuk memikirkan masalah dunia yang memeningkan dari pagi sehinggalah mereka masuk tidur.

Bagi yang bekerja, mereka sibuk memikirkan soal kerja yang tidak habis-habis di pejabat manakala bagi pelajar pula mereka asyik menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah sehingga lewat malam. Itu yang menyebabkan ada di antaranya liat untuk bangkit menunaikan solat subuh.

Apa yang pasti mereka yang sengaja meninggalkan solat Subuh telah melakukan dosa di sisi Allah SWT. Sebaliknya mereka yang menunaikan solat Subuh khususnya secara berjemaah akan sentiasa berada dalam jaminan Allah.

Seorang Muslim yang taat dan patuh pada perintah Allah tidak akan melewat-lewatkan solatnya. Mereka akan memastikan setiap solat bermula daripada Subuh hingga Isyak dilakukan dalam waktunya. Paling baik dilakukan pada awal waktu.

Rasulullah SAW pernah bersabda:”Solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan Subuh. Seandainya mereka tahu apa makna di dalamnya, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dalam keadaan merangkak.” - Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Ringkasnya, sesibuk mana sekali pun kita kewajipan bersolat jangan sesekali diabaikan kerana ini adalah tuntutan paling utama dalam Islam.

AQILAH FARHANA ROSLAN
Cheras, Kuala Lumpur

Sumber : [utusan.com.my]

Puasa Untuk Kesihatan

MASYARAKAT Barat mengakui amalan berpuasa selama dua hari seminggu dalam Islam dapat mengembalikan tahap kesihatan manusia ke tahap optimum. Kajian terbaharu Barat membuktikan amalan puasa sunat Isnin dan Khamis yang disyorkan Islam itu mampu memulihkan hormon-hormon dalam tubuh daripada toksid-toksid makanan yang kita ambil.

Malah semasa bulan Ramadan, penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung akan mempunyai bacaan darah mereka yang terbaik menghampiri paras normal. Perkara itu berlaku kerana tahap penggunaan hormon insulin yang digunakan untuk memecahkan bahan makanan terutama karbohidrat kepada molekul tenaga di dalam badan rendah.

Insulin adalah hormon dalam badan terpenting yang mana selain memecahkan karbohidrat kepada tenaga iaitu glukosa serta pembentukan lemak (glikogen), ia juga berfungsi untuk mengawal dan memastikan hormon-hormon lain seperti hormon tiroid, DHEA, tumbesaran, glukagon dan lain-lain berada dalam kapasiti terbaik.

Ketika berpuasa, hormon insulin akan menjadi lebih aktif memperbaiki tahap hormon tiroid agar tindakan dalam badan seperti denyutan jantung lebih stabil dan tekanan darah menjadi lebih normal.

Begitu juga ketiadaan makanan, insulin akan mengarahkan hormon glukagon untuk memecahkan makanan dalam badan untuk ditukar menjadi tenaga. Tindakan ini akan menyebabkan lemak dalam badan berkurangan dan seterusnya mengurangkan risiko serangan jantung.

Selain itu, insulin juga akan memastikan hormon tumbesaran ‘bertugas’ untuk mengekalkan kesihatan badan dan penghasilan tisu, melakukan proses rejuvanasi, menebalkan tisu kulit, menjadikan tulang kuat dan otot sempurna serta meningkatkan keupayaan seksual dan daya ketahanan semula jadi.

Insulin juga akan memastikan penghasilan hormon DHEA di buah pinggang. DHEA dirembes oleh kelenjar adrenal dan merupakan sejenis hormon steroid yang terlibat dalam penghasilan hormon seksual iaitu estrogen dan hormon testeron.

Antara fungsi DHEA ialah meningkatkan daya ketahanan dan mencegah jangkitan bakteria, mengekalkan fungsi hati dan organ-organ lain serta menjaga kestabilan dan keseimbangan tekanan darah dan paras hormon.

Bagi penghidap kencing manis, tahap gula menjadi normal ketika berpuasa. Ini disebabkan tahap gula dalam darah dalam keadaan optimum iaitu tidak rendah dan tidak juga tinggi.

Cara terbaik mengurangkan penggunaan hormon insulin ialah memperbanyakkan makanan protein dan lemak sihat kerana zat daripada sumber makanan itu dapat memulihkan sel badan kita yang keletihan akibat berpuasa. Makanan disarankan seperti telur, daging, ayam, santan serta sayur-sayuran hijau perlu diambil dalam kuantiti banyak.

Sementara itu, untuk mengekalkan tenaga di siang hari, kita digalakkan mengambil makanan berat seperti nasi lemak semasa bersahur. Dalam Forum Utusan Malaysia pada 20 April 2016, saya ada mendedahkan pengiktirafan majalah antarabangsa Time edisi Mac lalu yang menyenaraikan nasi lemak antara 10 sarapan antarabangsa yang sihat.

Sebenarnya, melebihkan pengambilan makanan ketika bersahur berbanding berbuka puasa bersesuaian dengan amalan Rasulullah SAW. Biarpun di bulan Ramadan, kita amat digalakkan meminum lapan gelas air sehari.

Saranan saya, untuk kembali sihat, anda patut memulakannya semasa bulan Ramadan. Jika ingin mengetahui tip pengambilan makanan yang sihat, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan cara betul dan berkesan.

DR. NORZAIDI ZAKARIA
Biro Media Perdim


Sumber : [utusan .com.my]

Apesal? Apesal? Apesal?

OhBelog? OhBelog? OhBelog

ZuLKiM Blogger