JIKA anda beranggapan dengan cara makan dan minum dalam kuantiti banyak ketika bersahur dapat membantu mereka menjalani ibadah puasa dengan baik, maka itu tidak benar sama sekali.

“Sebaik-baik sahurnya seorang mukmin adalah kurma”. Demikianlah sabda Nabi Muhammad SAW. Di sini jelas me­nunjukkan kepada kita bahawa cara bersahur yang betul tidak bergantung kepada kuantiti makanan yang dimakan, sebalik­nya apa yang kita makan ketika bersahur iaitu makanan berzat yang cukup membekalkan tenaga ketika berpuasa.

Jika makan pelbagai jenis makanan tetapi kandungan zatnya kurang dikhuatiri akan mengganggu kelancaran ibadah puasa. Lebih baik bersederhana makan tetapi seimbang kerana ini penting untuk kekal sihat menjalani ibadah puasa dengan baik.

Antara kaedah terbaik untuk tenaga kekal optimum, jangan sesekali meninggalkan sahur kerana itu amalan sunnah. Untuk makluman, sahur juga dapat mengawal gula dalam darah di samping memberikan tenaga kepada badan setiap hari serta memastikan sistem pencernaan berfungsi dengan lebih baik.

Selain buah kurma, pengambilan karbohidrat yang kompleks seperti oat dan nasi perang yang mengandungi serat adalah amat baik untuk bersahur. Ramai tidak menyedari pengambilan air berlebihan ketika bersahur juga tidak baik kerana semakin banyak air diminum, semakin cepat juga air dalam badan kita dibuang. Justeru cadangan kuantiti air yang perlu diminum adalah dua atau tiga gelas semasa bersahur.

Dengan cara bersahur yang betul, kita dapat memastikan kesihatan dipelihara di samping kekal bertenaga sepanjang hari di bulan Ramadan. Kesihatan juga amat penting dalam memastikan kesempurnaan setiap ibadah kita kepada Allah SWT lebih-lebih lagi di bulan yang penuh dengan barakah ini.

NURUL NAJIHAH MOHAMAD SHAHRIN
Negeri Sembilan