BULAN Ramadan yang sedang kita lalui mempunyai banyak keistimewaan. Antaranya, ia adalah bulan di mana al-Quran diturunkan untuk memberi petunjuk yang membezakan yang benar dan yang salah kepada manusia.
Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (al-Baqarah: 185).
Penurunan al-Quran itu berlaku pada dua peringkat. Yang pertama, dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah (langit dunia). Kedua, dari langit dunia kepada Nabi SAW secara beransur-ansur dalam tempoh sejak baginda SAW diangkat menjadi rasul sehingga baginda wafat iaitu selama 23 tahun.
Justeru dapat kita lihat di banyak masjid dan surau dalam negara kita diwujudkan kumpulan tadarus yang biasanya membaca al-Quran selepas tamat solat tarawih atau selepas subuh. Alhamdulillah, usaha membudayakan al-Quran sebegini amat dialu-alukan.
Cuma yang perlu diberi perhatian adalah, aspek pengajaran atau mentadabbur isi kandungan kitab suci itu. Al-Quran bukan hanya untuk dibaca dan dilagukan. Lebih utama adalah memahami dan mempraktikkan isi kandungannya untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
Oleh yang demikian, jangan pula wujud ‘perlumbaan’ sesama ahli tadarus. Seolah-olah mahu mencari kumpulan mana khatam dulu. Sehinggakan melanggar dan tidak mempedulikan hukum tajwid di dalamnya.
Sepatutnya, peluang ini mesti bermatlamat serampang dua mata. Selain menggalakkan pembacaan al-Quran ia juga menjadi platform untuk membetulkan dan memperbaiki sebutan atau makhraj huruf, panjang pendek bacaan dan sebagainya.
Dalam masa yang sama, perlu ada inisiatif bagi menarik golongan remaja untuk sama-sama bertadarus al-Quran dan juga remaja ‘kaki masjid’. Barangkali sedikit imbuhan yang biasanya disampaikan dalam majlis pada malam nuzul al-Quran boleh menarik minat mereka. Wujudkanlah anugerah seperti remaja paling banyak membaca al-Quran; tokoh remaja masjid; remaja contoh dan sebagainya.
Lebih utama, kita harapkan al-Quran akan menjadi pemberi syafaat kepada kita sebagai pembacanya. Ia sebagai mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Bacalah oleh kamu al-Quran, sesungguhnya ia datang pada hari kiamat menjadi syafaat kepada pembacanya. (Riwayat Muslim)
Bagi yang merangkak-rangkak membaca al-Quran janganlah gundah gulana. Pastinya anda akan gembira selepas mengetahui sabda nabi SAW yang bermaksud: ...Orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap, dia akan mendapat dua pahala. (Riwayat Muslim)
Untuk itu, mari kita berazam sekurang-kurangnya sekali khatam al-Quran dalam Ramadan kali ini. Bagi merealisasikannya, kurangkan masa berinternet melayari laman-laman sosial yang tidak bermanfaat.
Peruntukan masa 10 minit setiap kali selepas solat fardu sekadar membaca dua muka surat. Dengan demikian insya-Allah kita dapat mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam Ramadan.
Inilah sasaran paling minimum yang perlu ada dalam kalangan umat Islam. Bandingkan pula dengan Imam Syafi’erahimahullah yang khatam al-Quran 60 kali pada setiap Ramadan dan 30 kali dalam bulan-bulan lain.
Sumber : [utusan.com.my]
No comments:
Post a Comment